Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya dapatlah kita berjumpa semula di sesi pembelajaran baru, sesi 2010/2011. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Rasulullah S.A.W. di atas usaha baginda menyampaikan ajaran yang suci. Rasanya tidak terlambat bagi saya yang mewakili semua perwakilan kepimpinan organisasi Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan (PERSIAP) UKM sesi 2010 untuk mengucapkan Selamat Melangkah ke “Gerbang Klinikal” bagi pelajar Tahun 3 dan “Selamat Memulakan Tahun Akhir” bagi pelajar Tahun 5. Tidak ketinggalan juga kami mendoakan agar semua pelajar Perubatan UKM duduk dalam limpahan rahmat Allah.
Kami juga mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) KTDI yang baru di atas pelantikan mereka yang diketuai oleh saudara Mohamad Hafizzudin B Mohame Tahir, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) saudari Farih Najihah Bt Hashim dan saudari Alia Suzana Bt Asri, Presiden AMSA iaitu saudara Jonathan Raj a/l Thangarajoo dan Yang Di-Pertua Persatuan Pelajar Kejururawatan (PPK) saudari Gervanne Rekha D/O Gunasekaran. Kami berharap agar kita sentiasa sabar, tabah, tenang dan fokus dalam menjalankan amanah yang berat ini. Ingatlah bahawa sebahagian dari diri kita telah berada di dalam neraka, dan pada bila-bila masa sahaja kita semua boleh terjerumus ke dalam neraka jika amanah yang di pegang tidak dijalankan dengan sempurna. Ayuh kita berganding bahu dalam merencana dan menjalankan segala program yang dapat membantu pelajar dari sudut akademik dan kebajikan.
Dari Abu Dzar r.a katanya, aku berkata: “wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak melantik saya memegang apa-apa jawatan?” Sabda Rasulullah menjawab: “wahai Abu Dzar, kamu seorang yang lemah, sesungguhnya ia adalah amanah, dan sesungguhnya ia boleh membawa kepada kekacauan dan penyesalan di hari kiamat, melainkan orang yang mengambilnya dengan cara yang benar dan menunaikan kewajipan yang ditugaskan kepadanya”
“KEARAH FAKULTI BERKEBAJIKAN, CEMERLANG DAN PROFESIONAL”, itulah visi persatuan pada sesi ini, sekaligus merupakan kesinambungan visi sesi 2009/2010. Ia melambangkan kesungguhan PERSIAP bagi melahirkan pelajar perubatan yang cemerlang dari sudut akademik, terjaga dari sudut kebajikan dan profesional dari sudut kerja-kerja luar. Inilah ciri-ciri doktor yang mahu dilahirkan satu masa nanti. Perutusan kali ini adalah bertujuan membentangkan dasar-dasar yang akan digunakan oleh PERSIAP sesi 2010.
Akademik Klinikal dan Pra-Klinikal
Pada sesi kali ini, pihak PERSIAP telah merancang beberapa penambahbaikan dalam pelaksanaan dasar kami, untuk meningkatkan mutu akademik pelajar Fakulti Perubatan UKM. Kami menetapkan misi mengurangkan 5% pelajar yang mengulang tahun berbanding sesi lepas. Ini akan diterjemahkan di dalam program “Kampen Sifar Mengulang (ZRC)” fasa II yang lebih dikenali sebagai “Anjakan Paradigma II” dengan mengekalkan tema terdahulu iaitu “Moving Forward Together”. Ia akan diusahakan melalui beberapa program baru seperti program Student Tutor Program, Kempen Hapuskan Skema Jawapan, Forum Motivasi, Nota Study Group dan beberapa program seperti sesi lepas.
Kebajikan Pelajar Perubatan
Dengan penubuhan Skuad Bertindak Kebajikan (SBK) yang telah dibentuk sejak sesi lepas, PERSIAP kali ini akan meneruskan usaha tersebut supaya kebajikan pelajar lebih terjaga. Bidang kuasa PERSIAP dalam kebajikan adalah seperti menguruskan wang zakat, biasiswa (JPA), pinjaman (PTPTN dan MARA) dan derma-derma seperti kematian waris atau bencana. Pihak kami juga bercadang untuk mengadakan “Dialog Kebajikan” bagi setiap semester supaya penjelasan pelbagai isu dapat dilakukan.
Aset PERSIAP
PERSIAP juga memiliki beberapa aset yang boleh digunakan bersama. Ia dibeli adalah atas tujuan memudahkan ahli PERSIAP mengadakan program terutama gerai klinikal yang sangat dilihat bermanfaat dari sudut praktikal ilmu serta penghubung silaturrahim antara pelajar. Segala aset yang dimiliki boleh dipinjam melalui permohonan kepada Bendahari Kehormat PERSIAP. Segala aset yang dimiliki perlulah dijaga bersama agar generasi seterusnya dapat menggunakannya juga.
Barang-barang Klinikal dan Buku-buku
Dalam pengurusan barang-barang klinikal yang digunakan oleh pelajar, PERSIAP bersungguh-sungguh bagi mendapatkan barangan yang terbaik dan berkualiti, tetapi dengan harga yang lebih murah. Ini adalah usaha yang diterajui oleh Exco Tugas-tugas Khas PERSIAP. Bermulanya setiap semester, PERSIAP akan mengadakan PERSIAP Wholesale bagi menjual buku-buku yang diambil terus dari pembakal dan dijual kepada pelajar dengan harga berpatutan. Ini adalah bertujuan bagi memudahkan pelajar mendapatkan buku tanpa perlu mencari sendiri. Setiap buku yang dijual adalah berdasarkan cadangan senior dan pensyarah UKM.
Program PERSIAP
Seperti persatuan atau organisasi lain, PERSIAP juga tidak terlepas dari menganjurkan program yang bermanfaat. Setiap program yang dianjurkan mempunyai objektif yang jelas seperti membantu meningkatkan prestasi pelajar, mengukuhkan hubungan antara buddy dan kaum, pembentukan rohani pelajar dan lain-lain lagi. Antara program yang bakal dianjurkan PERSIAP pada sesi kali ini adalah Seminar Bioetika Perubatan (Naib Yang Di-Petua II), Konvensyen Persatuan Perubatan Se-Malaysia (Setiausaha Agong), Mesyuarat Agung Tahunan (Naib Setiausaha Agong), Kempen Sifar Mengulang (Exco Akademik Klinikal dan Pra-Klinikal), Medical Students’ Continuous Medical Education 2010 dan Warisan Mesra (Exco Kebajikan), Liga Antara Tahun (Exco Perhubungan dan Publisiti), Karnival Alam Sekitar (Exco Perhubunagn Alumni), Mahasiswa Bijak Jauhi Zina (Exco Pembangunan Insan), dan Gerai Klinikal (Senator). Dengan izin Allah, program-program tersebut sangat menjurus kepada pembentukan soft skill dan juga praktikal kepada teori yang dipelajari selain daripada membantu meningkatkan mutu akademik pelajar Perubatan UKM.
Penerbitan
Tidak ketinggalan juga dari sudut penerbitan, PERSIAP akan meneruskan warisan “Suara PERSIAP” yang akan diterbitkan setiap 2 bulan sekali.
Penutup
Mengimbau pengajaran dari sirah perang Uhud. Rasulullah s.a.w sebagai ketua telah menempatkan 50 orang tentera di atas bukit Uhud untuk berkawal bagi mengelakkan serangan pihak musuh dari arah belakang. Ketika Islam menghampiri kemenangan, pelanggaran arahan oleh 50 pemanah yang bertempat di atas bukit Uhud telah berlaku. Akibat nafsu yang mendahului, mereka turun meninggalkan bukit tersebut untuk mengambil harta rampasan perang. Apabila pihak musuh melihat keadaan tersebut, mereka telah berpatah balik dan menyerang tentera Islam dari belakang dan mengakibatkan Islam tewas. Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dijaga. Jika ia tidak dijaga, ia akan mengakibatkan orang lain menerima padah dari kesilapan mereka. Sikap ini juga akan menyebabkan sesuatu organisasi dicemuh dan dicaci disebabkan sikap atau ketidak bertanggungjawaban salah seorang ahli dalam organisasi tersebut. Selain itu patuh kepada arahan ketua juga adalah perlu selagi ia tidak melanggar hukum tuhan.
Kami mengharapkan agar semua pihak dapat bersatu padu dan membantu kami dalam menjayakan visi dan misi yang ingin kami capai. Kekuatan yang sinergik perlu dibentuk bagi mencapai objektif tersebut. Kita ingin ahli memberi tahu PERSIAP tentang apa yang boleh mereka bantu terutama dari sudut pembangunan akademik dan kebajikan daripada asyik mempersoalkan tentang apa yang telah PERSIAP lakukan. Ayuh kita gabung tenaga, pemikiran dan matlamat supaya kedudukan UKM dipersada negara terutamanya menjadi universiti pertama dan meningkatkan kedudukan UKM kepada kedudukan yang lebih baik di mata dunia. Moga setiap apa yang kita lakukan dimulakan dengan hati yang ikhlas supaya mendapat keberkatan dalam segala perkara.
Tegurlah kami jika kami silap dan perbetulkanlah segala tindakan kami supaya apa yang kami lakukan dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Kami dahului segala urusan kami dengan pemohonan maaf jika berlaku kesilapan. Doakan segala yang terbaik bagi sesi PERSIAP kali ini. Wallahu’alam.
“sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia amat zalim dan bodoh”
-surah alAhzab: 72-
KECEMERLANGAN ILMIAH TERAS KEUNGGULAN PERUBATAN
Yang ikhlas,
Mohamad Azizuddin Fahmi B Nordin
Yang Di-Pertua PERSIAP,
Sesi 2010,
Universiti Kebangsaan Malaysia.